Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 29 tahun ditahan polis selepas mengamuk dan mengugut ibunya dengan menggunakan pisau di Kampung Kuala Sidim Padang Serai di Kulim, semalam.

Suspek ditahan di lokasi sama pada 5.30 petang semalam ketika mengamuk di luar rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika wanita berusia 58 tahun itu tinggal bersendirian kerana suaminya ke tempat kerja.

“Suspek bertemu ibunya sambil memegang pisau sebelum memarahi dan mengugut mangsa.

“Akibat ketakutan, wanita itu lari keluar dari rumah untuk menghubungi suaminya sebelum ke Balai Polis Sungai Karangan untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, suspek ditangkap bersama pisau yang digunakan untuk mengugut ibunya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 10:14 AM