LELAKI yang ditahan polis selepas membuat laporan palsu mendakwa disamun. FOTO ihsan Polis
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


BIMBANG didenda selepas kad pengenalannya hilang, seorang lelaki sanggup mereka cerita kononnya dia disamun sebelum membuat laporan polis di Bukit Mertajam, semalam.

Bagaimanapun, tembelangnya itu pecah selepas pegawai penyiasat menemui telefon bimbit yang sebelum itu dikatakan hilang dalam kejadian samun di dalam poket seluarnya.

Ketika itu, pegawai penyiasat sedang menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek yang berusia 31 tahun dan bekerja sebagai operator kilang membuat laporan polis kononnya dia disamun tiga lelaki berhampiran lampu isyarat, Jalan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam, 3 pagi, semalam.

“Dalam laporannya, suspek memberitahu dia disamun tiga lelaki dengan seorang daripada mereka menunjukkan parang dan meminta dia menyerahkan barang berharga.

“Suspek yang mendakwa takut dengan kejadian itu kemudian menyerahkan telefon bimbit serta dompet yang mengandungi wang tunai berjumlah RM300,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kemudian dipanggil untuk siasatan dan turut dibawa ke lokasi kejadian oleh pegawai penyiasat namun kenyataannya didapati bercanggah dengan laporan dibuat sebelum itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui telefon bimbit yang sebelum itu dilaporkan hilang dalam poket seluarnya.

“Selepas disiasat, suspek akhirnya mengaku yang dompetnya tercicir di sebuah pasar raya dan dia terpaksa membuat laporan palsu kerana mahu membuat kad pengenalan dan bimbang didenda,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Foto Ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 3:14 PM