ANGGOTA bomba memeriksa kereta BMW yang terbakar dalam kemalangan. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki rentung selepas kereta dipandunya terbakar akibat kemalangan di Jalan PJU 1A/1 menghala ke Jalan Lapangan Terbang Subang (LTAAS), di Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.50 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kereta jenis BMW dipandu mangsa terbabas di tepi Jalan PJU 1A/1 lalu melanggar pokok sebelum terbakar.

“Kebakaran itu hanya dapat dipadamkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya kira-kira 15 minit kemudian.

“Pemandu kereta itu ditemui dalam keadaan rentung 100 peratus di dalam kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, identiti pemandu dan nombor pendaftaran kereta itu belum dapat dikenal pasti.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa, mengesan waris dan nombor pendaftaran sebenar kereta terbabit.

“Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 010 2105101,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 10:22 AM