BEKAS yang menjadi tempat simpanan syabu. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


POLIS menahan dua wanita Indonesia kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di Pasar Batu 4 Jalan Apas di Tawau, petang semalam.

Suspek dicekup dalam Op Tapis dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau diketuai Inspektor Syed Mohd Iqbal Syed Mohd Yassin jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, wanita berumur 30 dan 31 tahun itu ditahan hasil serbuan di sebuah gerai di kawasan pasar berkenaan.

Katanya, ketika serbuan di gerai diusahakan dua wanita itu, polis menemui bakul plastik berwarna biru di dalamnya mengandungi satu bungkus polistirena.

“Polistirena itu mengandungi lima paket plastik lut sinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata, syabu seberat 251.1 gram dianggarkan bernilai RM22,500 itu dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 8:44 AM