RATUSAN ekor burung dibawa kenderaan pacuan empat roda diletakkan di Jalan Sri Muar Selatan, Kampung Sri Muar, Layang-Layang, Johor.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gempur habis-habisan sindiket pasaran gelap dan pemburu haram di seluruh negara yang cuba menyeludup keluar spesies hidupan liar dilindungi bernilai ratusan ribu ringgit ke negara jiran.

Itu tindakan agresif Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam memastikan khazanah negara tidak terus dicuri.

Terbaru semalam, pegawai Perhilitan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang diletakkan di Jalan Sri Muar Selatan, Kg Sri Muar, Johor hasil dari maklumat diperolehi.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan dilakukan menemui lapan sangkar kotak disembunyikan di dalam pacuan empat roda model Toyota Hilux itu.

“Siasatan lanjut menemui 350 burung Hua Mei dan 220 burung Sun Wu yang dipercayai cuba diseludup ke Indonesia.

“Burung ini dianggap berharga berikutan dari jenis song birds yang dijadikan burung peliharaan. Berdasarkan risikan, seekor burung Hua Mei berharga antara RM300 hingga RM400.

“Manakala burung San Wu dijual di pasaran gelap antara RM200 hingga RM250 seekor. Seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an yang disyaki cuba menyeludup burung itu ditahan.

“Semua hidupan liar dan kenderaan dirampas di dan dibawa ke pejabat PERHILITAN Daerah Kluang,” katanya.

Sementara itu dalam operasi berasingan, pegawai Perhilitan Daerah Jeli, Kelantan, menyerbu sebuah rumah di Kampung Sat, Tanah Merah Kelantan jam 12 tengah hari kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan menemui pelbagai spesies burung dilindungi antaranya burung luris leher, murai batu,bayan puling, serindit, murai buluh, merbah Siam, kelicap kunyit, kunyit kecil, tiong mas, ruak-ruak dan dua ekor beruk.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek berusia 45 tahun mendapati lelaki itu tiada dokumen sah dari jabatan bagi tujuan pemilikan dan penyimpanan hidupan liar itu. Susulan itu semua hidupan liar dirampas,” katanya.

Kadir berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Kampung Ulu Inas, Johol Negeri Sembilan. Hasil pemeriksaan menemui dua ekor landak Nibong disembunyikan di dalam sangkar di belakang premis kediaman itu.

“Pemiliknya seorang lelaki berusia 44 tahun ditahan untuk siasatan lanjut dan dua landak itu dirampas. Turut diambil tindakan sama seorang wanita berusia 30-an yang yang memiliki seekor kura-kura African Tortoise di kediamannya di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu tanpa dokumen sah,” katanya.

DUA ekor landak Nibong di Kampung Ulu Inas, Johol Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:08 AM