Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SINDIKET ragut dan samun dikenali sebagai Geng Mat Top meraih hingga RM500,000 dalam tempoh lebih dua tahun aktif melakukan kegiatan itu di sekitar Lembah Klang sejak 2016.

Malah, sindiket itu dianggarkan meraih RM10,000 sehari setiap kali melakukan kegiatan berkenaan dengan ahli geng terbabit bergerak secara berkumpulan.

Bagaimanapun, sindiket itu dilumpuhkan selepas polis menahan 11 anggota geng terbabit termasuk ketua kumpulannya dikenali sebagai Mat Top berusia 27 tahun dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor, pada 12.20 tengah hari 2 Februari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes ragut seorang wanita di depan bank di Jalan Raja Chulan, di sini, pada 10.30 malam 28 Januari lalu.

“Hasil tangkapan itu, kami menahan 10 lelaki berusia antara 21 hingga 35 tahun termasuk ketua geng berkenaan dikenali sebagai Mat Top dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor.

“Dalam serbuan itu, kami merampas 18 telefon bimbit, 16 motosikal pelbagai jenis termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi Ducati Hypermotard 821, 20 topi keledar tutup muka penuh, 20 nombor pendaftaran palsu, dua kereta iaitu Mercedes Benz AMG A45 serta Honda Jazz, beberapa pakaian serta wang tunai berjumlah RM2,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

Mazlan berkata, geng terbabit aktif melakukan kegiatan ragut sejak 2016 di sekitar Lembah Klang secara berkumpulan menggunakan motosikal dengan memainkan peranan masing-masing.

“Modus operandi geng ini adalah bergerak secara berkumpulan seramai tiga orang dengan setiap individu memainkan peranan dalam mencari mangsa, memantau keadaan sekeliling dan meragut.

“Sasaran mangsa kumpulan ini terdiri daripada pejalan kaki memakai barang kemas terutama wanita termasuk pelancong asing,” katanya.

Beliau berkata, geng itu dianggarkan meraih keuntungan RM10,000 sehari setiap kali melakukan kegiatan jenayah ragut dan samun di sekitar Lembah Klang.

“Malah, semua kenderaan dirampas dalam serbuan itu dibeli menggunakan wang hasil kegiatan ragut dan samun secara tunai.

“Semakan terhadap akaun bank milik Mat Top mendapati terdapat wang berjumlah RM217,000 di dalam akaun berkenaan dipercayai diperolehi daripada kegiatan itu,”

katanya.

Beliau berkata, geng itu dipercayai terbabit dengan 45 kes ragut dan samun di sekitar Lembah Klang sejak 2016 membabitkan nilai kerugian kira-kira RM500,000.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati dua daripada 11 individu ditahan itu positif dadah jenis ganja, manakala tiga individu dalam geng itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah termasuk ragut dan samun serta dadah.

“Semua suspek diserahkan kepada IPD Ampang Jaya pada 12 Februari lalu bagi membantu siasatan kes ragut dan samun yang dipercayai didalangi kumpulan berkenaan di daerah berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Seksyen 45 Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA) dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 12:04 AM
MAZLAN (kanan) menunjukkan barang kes pada sidang media OP Rentap Khas Geng Mat Top di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Hafiz Sohaimi.