LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai Sultan Johor murka apabila mendapati seorang menteri Kabinet berceramah di dalam masjid di Johor Bahru.
Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@bh.com.my


MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, menyatakan kesediaannya untuk menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk memberi penjelasan berhubung isu berceramah di sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) itu berkata, sebagai rakyat Johor, beliau menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim kerana menitahkannya menghadap.

“Saya patuh (terhadap titah) dan ini adalah peluang terbaik saya untuk nyatakan dan perjelaskan segala-galanya kepada Tuanku.

“Saya masih menunggu bila masa saya boleh menghadap Tuanku dan selepas itu saya akan mengadakan sidang akhbar atau mengeluarkan kenyataan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis jamuan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pulai di Padang Bukit Indah, Taman Bukit Indah, Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dalam kenyataan di laman Facebook rasmi Tuanku menitahkan baginda menzahirkan kemurkaan dengan tindakan seorang menteri yang dikatakan memberi ceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Sultan Ibrahim mengingatkan menjadi peraturan bagi semua masjid di Johor iaitu tidak sesiapa dibenarkan berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya, kecuali yang mendapat tauliah dan kebenaran dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang menteri Kabinet berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Baginda bertitah, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid supaya sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

Berita berkaitan

'Ini amaran terakhir - Sultan Johor'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 10:11 PM