PENYOKONG Ultras Tranung menaikkan poster Allahyarham Abdul Bari. FOTO Ihsan Ultras Tranung
Malik Muhamad
cnews@nstp.com.my


POSTER gergasi memaparkan lukisan potret Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd berserta tulisan Hero Tranung (wira Terengganu) dinaikkan sebahagian penyokong Ultras Tranung pada aksi Liga Super antara Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Selain menaikkan potret berukuran 7x10 meter (m) itu, peminat kedua-dua pasukan juga sempat bertafakur seketika untuk mengingati Allahyarham yang terkorban ketika menyelamatkan lima sekeluarga, selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm yang dinaiki menggelungsur ke dalam sungai Terengganu di Pulau Warisan, minggu lalu.

Mereka turut menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah dan mendoakan Allahyarham Abdul Bari supaya ditempatkan dalam kalangan insan mulia.

Wakil Ultras Tranung, Syed Mohamad Afifi Syed Hassan Adli berkata, penghormatan ini diberikan kepada arwah yang sanggup berkorban tanpa memikirkan risiko yang bakal berlaku ke atas dirinya.

“Buktinya arwah menjadi penyelamat pertama yang terjun ke dalam sungai yang begitu dalam selain arus deras sebelum pihak berkuasa tiba.

“Pengorbanan dan sikap arwah wajar dicontohi generasi kini terutama golongan muda dan arwah wajar dijulang sebagai hero,” kata.

Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam 8 Februari lalu, Allahyarham Abdul Bari bersama lima lagi individu sanggup berkorban dan menggadai nyawa demi menyelamatkan lima sekeluarga berkenaan.

Lima sekeluarga yang berjaya diselamatkan ialah Suryati Rusly, 37; Nordiana Alwani Jaafar, 33; Asmaa Rusly, 23; Shafawani Jaafar, 11 dan Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin, 3 tahun.

Bagaimanapun, Allahyarham yang menjadi penyelamat pertama, lemas sebelum mayatnya dijumpai tiga hari kemudian.

Lima lagi penyelamat lain, iaitu Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28; Saiful Anuar Mohd, 37; Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29; Omar Abdul Aziz Othman, 27 dan Shahrul Mizan Harun, 34 terselamat.

Berikutan keberanian dan pengorbanan besar Allahyarham bersama lima penyelamat lain, kerajaan negeri mengumumkan akan memberi anugerah Wira Darul Iman sempena Himpunan Belia dan Beliawanis Terengganu di Stadium Negeri, 22 Februari ini.

Ia berupa sijil penghargaan serta insentif kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 9:04 PM