Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my

“JADI pembebasan ini sebagai peluang kedua dan jangan ulangi kesilapan sama pada masa akan datang,” itu pesanan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan.

Beliau berkata, kejadian yang menimpa 47 rakyat Malaysia harus dijadikan iktibar agar tiada lagi yang sewenangnya menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, tawaran gaji lumayan bernilai ribuan dolar Amerika itu ternyata tidak masuk akal dan hanya digunakan untuk menjerat mangsa.

“Jika benar tawaran gaji ribuan dolar Amerika, sudah pasti rakyat Kemboja akan diambil bekerja.

“Ini hanya penipuan dan kamu perlu menjadikan iktibar agar tidak menjadi mangsa lagi,” katanya ketika Majlis Simbolik Penyerahan Rakyat Malaysia daripada Kerajaan Kemboja kepada Kerajaan Malaysia dan Sarawak, hari ini.

Othsman mewakili kerajaan Kemboja manakala Malaysia dan Sarawak diwakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Hadir sama dalam majlis itu Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; pegawai kanan Wisma Putra termasuk Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phonm Penh, Ruzaimi Mohamad dan Pengarah Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Deddy Faisal Ahmad Salleh.


OTHSMAN (dua dari kanan) menjelaskan prosedur imigrasi pada simbolik majlis penyerahan warga Malaysia yang dibebaskan.

Surat pembebasan dari mahkamah Kemboja turut dibacakan di hadapan semua rakyat Malaysia yang dibebaskan.

Othsman berkata, semua proses dokumentasi termasuk mereka yang kehilangan pasport sudah diselesaikan pihak Imigresen kedua-dua negara.

Katanya, kini tanggungjawab mereka yang dibebaskan diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan Malaysia dan Sarawak untuk dibawa pulang.

“Keluarga anda (rakyat Malaysia yang dibebaskan) sudah dihubungi bagi memaklumkan pembebasan semalam.

“Hubungan erat antara Kemboja dan Malaysia memudahkan proses rundingan dan pembebasan,” katanya.

Semua 47 rakyat Malaysia akhirnya dibebaskan selepas 65 hari ditahan tanpa bicara selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian.

Hasil rundingan antara Kemboja dan Malaysia menerusi Kementerian Luar dan kerajaan Sarawak membawa kepada pembebasan mereka petang semalam.

Berita berkaitan:

'[UPDATE] 'Terima kasih Kemboja'

'47 rakyat Malaysia pulang esok

'Derita 65 hari berakhir'

[UPDATE] 47 warga Malaysia di Kemboja bebas

[UPDATE] 'Rayu minta dibebaskan segera' [METROTV]

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 8:07 PM