Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan agihan dividen sebanyak RM47.31 bilion bagi 2018 iaitu turun 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Selain itu, kadar dividen 6.15 peratus diberikan bagi Simpanan Konvensional dengan agihan dividen sebanyak RM43 bilion dan 5.9 peratus bagi Simpanan Syariah dengan agihan dividen sebanyak RM4.32 bilion.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, menerusi pengumuman itu, KWSP menjangkaui mandatnya untuk mengisytiharkan 2.5 peratus dividen setiap tahun.

Malah, katanya, ia juga tidak kurang daripada dua peratus bagi dividen sebenar untuk purata tiga tahun apabila merekodkan purata kadar dividen sebenar bagi tiga tahun berturut-turut sebanyak 3.93 peratus melebihi kadar inflasi untuk Simpanan Konvensional dan 3.68 peratus untuk Simpanan Syariah.

“Kami amat bersyukur dan sukacita kerana berjaya memenuhi dua sasaran pelaburan strategik kami secara konsisten.

“Selain dividen nominal, adalah menjadi keutamaan kami untuk memberikan pulangan melebihi kadar inflasi secara konsisten agar kami dapat mengekal dan meningkatkan nilai simpanan ahli dalam jangka panjang serta membantu mereka mencapai masa depan persaraan yang lebih baik.

“Ini masih dapat direalisasikan meskipun 2018 adalah tahun yang sukar dan di dominasi oleh ketidaktentuan dan trend penurunan pasaran global yang dicetus oleh perang perdagangan AS-China serta empat kitaran kenaikan kadar faedah AS dalam satu tahun yang sama,” katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tetap fokus kepada strategi jangka panjang dan kepelbagaian portfolio yang memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli kami.

Samsudin berkata, pendapatan pelaburan kasar untuk 2018 adalah RM50.88 bilion, yang mana RM4.62 bilion dijana bagi Simpanan Syariah, berkadar dengan bahagiannya daripada keseluruhan jumlah aset Syariah; manakala RM46.26 bilion dijana bagi Simpanan Konvensional.

Menurutnya, penurunan pendapatan portfolio Syariah KWSP pada 2018 adalah disebabkan oleh prestasi kurang memberangsangkan untuk sektor telekomunikasi, pembinaan dan minyak dan gas dalam portfolio domestik.

“Jumlah yang perlu diagihkan untuk setiap satu peratus kadar dividen 2018 adalah RM7.72 bilion, lebih tinggi berbanding RM7.02 bilion pada 2017,” katanya.

Katanya, jika dibandingkan dengan peningkatan trend pasaran pada 2017, terdapat perbezaan ketara dapat disaksikan pada tahun kewangan 2018 yang mana kesemua indeks saham mencatatkan pulangan negatif.

Selain itu, Indeks FBM KLCI mencatatkan kejatuhan enam peratus, manakala indeks ekuiti pasaran sedunia jatuh sekitar sembilan hingga 16 peratus.

Mengulas mengenai prospek pelaburan, Samsudin berkata, ketidaktentuan dalam pasaran global mungkin akan berterusan berikutan perang dagang AS-China.

“Kami juga bersiap sedia untuk menghadapi faktor luaran yang lain seperti Brexit, kelembapan pertumbuhan ekonomi global dan kenaikan kadar faedah AS,” katanya.

Ahli boleh menyemak penyata akaun KWSP untuk pengkreditan dividen 2018 bermula Ahad, 17 Februari 2019, melalui i-Akaun atau laman web myEPF di www.kwsp.gov.my

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 2:43 PM
BANGUNAN KWSP. FOTO arkib NSTP