Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


SEORANG lelaki ditahan pemilik sebuah kedai makan di Sungai Limau di Kulim, selepas dia dikesan menceroboh premis itu semalam.

Dalam kejadian 1.10 pagi itu, pemilik kedai itu yang sedang minum di sebuah kedai lain terlihat suspek yang menunggang motosikal berhenti sebelum masuk ke premisnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa segera ke kedainya dan menahan suspek berusia 19 tahun itu sebelum menemui alat pemotong di dalam raga motosikal.

Menurutnya, mangsa menghubungi polis yang kemudian menahan semula suspek sebelum dibawa ke Balai Polis Lunas untuk tindakan selanjutnya.

“Semakan mendapati suspek memiliki jenayah lampau mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Dia direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 1:12 PM