FOTO Hiasan
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


PENIAGA yang mahu mengaut untung lebih dengan menjual rokok seludup sehingga dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), rugi berganda apabila didenda RM100,000 selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Limbang, kelmarin.

Pengarah JKDM Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, lelaki berusia 59 tahun terbabit ditahan sepasukan anggota penguatkuasa JKDM di premis perniagaan, Isnin lalu.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui sebuah kotak yang mengandungi sejumlah rokok bernilai RM230 yang didapati belum mendapat kelulusan JKDM.

“Pemeriksaan lanjut dibuat dan tertuduh gagal membuktikan duti kastam dibayar ke atas rokok berkenaan.

“Dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Limbang kelmsrin atas kesalahan memiliki barangan larangan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (v) (aa) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, tertuduh mengaku bersalah dan Hakim Mohd Hafizi Abdul Halim menjatuhkan hukuman denda RM100,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.

“Tertuduh membayar denda itu pada hari yang sama dan rokok yang dirampas akan dilucut hak dan dilupuskan mengikut Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 1:07 PM