PROTON Waja dinaiki mangsa terbalik dalam kemalangan itu. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PENUNTUT kolej swasta maut selepas kereta dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Jalan Klang Lama susur ke Lebuhraya Persekutuan menghala ke Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Sachdevf Singh Sunder Singh, 22, disahkan maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan itu membabitkan Proton Waja dan Perodua Myvi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila Proton Waja dinaiki mangsa yang bergerak di Lebuhraya Persekutuan dari arah pusat bandar hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar kon pembinaan.

“Kereta itu kemudian memasuki susur Jalan Klang Lama lalu terbalik. Sebuah Perodua Myvi yang datang dari arah Jalan Klang Lama tidak sempat menekan brek lalu melanggar Proton Waja itu.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang depan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, pemandu Proton Waja, Umar Mokhtar Abdul Rahman, 22, dilaporkan cedera ringan manakala pemandu Perodua Myvi, Muhammad Hanif Mohamad Tawpik, 26, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1981,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.01 pagi tadi.

“Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati seorang lelaki disahkan maut di lokasi kejadian akibat tercampak keluar dari Proton Waja yang terbalik dalam kemalangan itu,” katanya.

Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 12:39 PM