HM Digital

Kuala Berang: Jika ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukur Khamis, 14, mesra dengan kerbau. Ang Ching Yang, 56, pula terkenal dengan kemesraannya bermain dengan gajah.

Ching Yang atau lebih dikenali sebagai Ayang Gajah adalah pencinta dan penggemar haiwan liar itu sejak lebih 10 tahun lalu.

Rasa cinta Ching Yang yang berasal dari Kijal, Kemaman terhadap gajah di Pusat Konservasi Gajah Kenyir (KECV) jelas kelihatan ketika dia bersama mamalia berkenaan.

Malah, haiwan yang berada di pusat berkenaan seakan-akan memahami setiap arahan diberikan Ching Yang dan kemesraan yang dipamerkan itu pastinya menghibur hati pengunjung.

Ching Yang berkata, dia dididik keluarganya untuk menyayangi haiwan dan menjaga kebajikan haiwan ternakan atau liar sejak berusia belasan tahun.

“Saya juga gemarkan banyak haiwan liar lain namun cukup sayangkan gajah. Oleh itu, saya tidak kekok untuk menjaga dan memelihara mamalia ini.

“Saya turut menjelajah ke seluruh negara selain Thailand, Indonesia dan India untuk menuntut ilmu serta membuat rujukan mengenai gajah.

“Semua gajah di KECV mesra dengan saya, malah suara dan bau saya juga mudah dikenali haiwan ini,” katanya ditemui di KECV.


NOORZAINY (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas dari geng ‘Tanker’ di bilik media Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang. -Foto RAMDZAN MASIAM

Menurut Ching Yang, KECV mempunyai 18 gajah dan gajah paling mesra dengannya dikenali sebagai Tenang, Abon, Jambu dan Ketiar.

“Tenang ialah gajah jantan dominan dan paling lama berada di KECV.

“Hanya lima peratus gajah jantan di negara ini tiada gading dan Tenang satu daripadanya.

“Gajah bersaiz paling besar beratnya dua tan. Ia memerlukan 250 kilogram rumput napier dan tebu sebagai makanan,” katanya yang juga Pengarah Urusan KECV.

Menurut Ching Yang, setiap gajah ada kebolehan berbeza.

“Hanya individu yang membela dan mengurus gajah memahami sikap mamalia ini. Kami ada 52 pekerja termasuk tujuh penjinak gajah profesional dari Thailand.

“Saya turut mempelajari dan memahami tabiat gajah melalui bimbingan terus pakar penjinak gajah Asia, Maitree Sang Sai yang berumur 41 tahun dan berasal dari Thailand,” katanya.

Ching Yang menguruskan 18 gajah di KECV sejak 9 Mei 2014.


KECV mempunyai 52 pekerja termasuk penjinak gajah profesional.

Sementara itu, Maitree berkata, dia kagum dengan keberanian Ching Yang bermain dengan gajah kerana tidak ramai orang yang berani berbuat demikian.

“Gajah antara haiwan paling cerdik tetapi tidak mudah untuk dijinakkan. Bagaimanapun, Ching Yang cepat serasi dengan semua gajah di KECV.

“Walaupun semua gajah ini dijaga dan diuruskan penjinak terlatih pada setiap hari haiwan ini lebih serasi dan mesra dengan Ching Yang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 9:01 AM