Tenggiling hidup yang disembunyikan di but Proton Waja hari ini. FOTO Ihsan JHL Sabah
Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@nstp.com.my


JABATAN Hidupan Liar (JHL) Sabah menahan lelaki dan merampas 23 tenggiling hidup yang disembunyikan di but sebuah Proton Waja di Jalan Kemabong - Tenom dekat Tenom, Kota Kinabalu hari ini.

Lelaki berusia 40 tahun dari Lawas, Sarawak itu ditahan pada jam 11.50 pagi menerusi sekatan jalan raya oleh sepasukan anggota Unit Penguatkuasaan JHL Sabah dengan dibantu dua warden hidupan liar.

Pegawai Perhubungan Awam JHL Sabah, Siti Nur’ain Ampuan Acheh berkata, penahanan lelaki itu dibuat susulan maklumat awam.

“Tenggiling hidup itu ditemui dalam karung biru dan hitam di but belakang kereta dipandu lelaki berkenaan.

“Semua tenggiling itu dipercayai diseludup dari Lawas dan dibawa ke Keningau untuk dijual. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tenggiling adalah spesies dilindungi sepenuhnya yang disenaraikan di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Individu yang didapati memiliki spesies atau produk yang disenaraikan di bawah Jadual 1 tanpa kebenaran pihak berkuasa yang sah boleh dipenjarakan sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 11:13 PM