SEBAHAGIAN daripada 47 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dipercayai sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja dibebas.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


SELEPAS 65 hari dipenjarakan tanpa perbicaraan, kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Wilayah Banteay Mancheay, Kemboja dibebaskan hari ini.

Ia diputuskan Kerajaan Kemboja susulan beberapa siri rundingan bersama wakil Kerajaan Malaysia di bawah koordinasi Wisma Putra.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, keputusan pembebasan kesemua tahanan itu dimaklumkan Menteri Kanan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Kemboja Datuk Dr Othsman Hassan.

“Kesemua 47 tahanan berkenaan kini sedang bersiap sedia untuk proses dokumentasi pembebasan mereka yang dikendalikan petugas kedutaan kita di Phnom Penh dan Siam Reap.

“Mereka akan ditempatkan di hotel penginapan sementara menunggu dokumen perjalanan diproses untuk kembali ke tanah air.

“Ada di antara mereka kehilangan pasport dalam serbuan di tempat mereka dikurung sebelum ini,” katanya ketika dihubungi NSTP di Phnom Penh, hari ini.

Fatimah turut memaklumkan kesemua tahanan berusia 19 hingga 44 tahun, dengan 40 daripadanya berasal dari Sarawak cukup bersemangat tinggi sepanjang tempoh ditahan.

“Akhirnya, detik yang kita tunggu itu tiba... Syukur, mereka akhirnya dibebas.... terlerai kerinduan ibu bapa dan anggota keluarga pada anak-anak yang dinantikan kepulangan mereka ini.

“Di sebalik kejayaan ini, kita berterima kepada Dr Othsman yang banyak membantu merintis usaha pembebasan rakyat kita, termasuk menjaga kebajikan mereka sepanjang dalam tempoh tahanan,” katanya.

Malaysia digemparkan dengan penahanan 47 warganya berusia 19 hingga 44 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian.

Mereka bagaimanapun menafikan tuduhan itu kerana datang ke negara berkenaan selepas menerima tawaran sebagai promoter dari sebuah agensi pekerjaan di Malaysia yang menjanjikan gaji lumayan dibayar menggunakan dolar Amerika.

Fatimah berkata, perkembangan positif itu juga jelas memaparkan keakraban hubungan dua hala Malaysia - Kemboja, selain sentiasa berpegang kepada Semangat ASEAN.

“Ini juga memperlihatkan kesepakatan antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Sarawak dalam mengendalikan kes berkenaan, khususnya melalui Wisma Putra.

“Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bersama Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob memantau rapi perkembangan kes ini sejak mereka ditahan, seterusnya merangka pelan tindakan bersesuaian,” katanya.

Selain Fatimah, turut memantau rundingan itu ialah Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, Ruzaimi Mohamad, proses rundingan itu juga disertai Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak - Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh

Fatimah berkata, seperti dipersetujui Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas bagi menampung kos membawa pulang kesemua tahanan.

“Wisma Putra juga sedang berunding dengan syarikat penerbangan berkaitan untuk menguruskan penerbangan pulang mereka kerana ia membabitkan kumpulan yang besar.

“Kita berharap proses ini dapat diselesaikan segera agar mereka semua dapat pulang ke pangkuan keluarga secepat mungkin,” katanya.

Malaysia dan Kemboja juga menyatakan komitmen mendokong usaha memerangi kegiatan sindiket pemerdagangan manusia yang kini menjadi ancaman jenayah utama di peringkat global.

Berita berkaitan:

[UPDATE] 'Terima kasih semua'

[UPDATE] 47 warga Malaysia di Kemboja bebas

[UPDATE] 'Rayu minta dibebaskan segera' [METROTV]

'Rindu 63 hari bakal terubat' [METROTV]

Kunjungan bawa harapan tinggi

Keluarga 47 tahanan di Kemboja semakin resah

Seorang masuk hospital

Serah kepada Kemboja jalankan siasatan

Nota diplomatik sudah diserahkan

'Tolong kamek mummy'

Mana kerja dijanjikan?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 7:48 PM