Penguat kuasa DBKL mengalihkan objek yang diletakkan di dalam petak parkir di Taman Desa Setapak semalam. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


PULUHAN petak parkir yang diletakkan objek sebagai penanda oleh pihak tidak bertanggungjawab yang memonopoli ruang letak kenderaan awam di Taman Desa Setapak, Kuala Lumpur, ‘dibersihkan’ dalam operasi penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood berkata, pihaknya menerima beberapa aduan dibuat penduduk di kawasan perumahan itu berhubung masalah terbabit.

“Berdasarkan aduan diterima, kami melakukan operasi tindakan khas halangan petak parkir di kawasan itu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang semalam.

“Dalam operasi itu, kami merampas pelbagai jenis objek yang diletakkan di dalam puluhan petak parkir di kawasan berkenaan seperti kon, tong, tayar, papan tanda, basikal, pasu bunga dan baldi,” katanya hari ini.

Azman berkata, operasi itu kali ketiga dilakukan di kawasan perumahan sekitar ibu kota.

“Kami menerima banyak aduan dan rungutan orang ramai terutama penduduk kawasan perumahan awam berhubung isu petak parkir yang dimonopoli pihak tertentu.

“Berdasarkan aduan diterima, kami akan melakukan pemeriksaan di lokasi yang dikatakan berdepan masalah itu sebelum tindakan merampas objek menghalang petak parkir dilakukan,” katanya.

Dalam operasi berasingan, pihaknya turut merampas barangan jualan termasuk kerusi dan meja yang diletakkan di petak parkir serta kaki lima di beberapa jalan sekitar pusat bandar malam tadi.

“Dalam operasi bermula jam 3 petang hingga 11 malam itu, kami membuat pemeriksaan di enam lokasi membabitkan Persiaran Stonor, Jalan P Ramlie, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tengkat Tong Shin, Jalan Changkat Bukit Bintang dan Jalan Alor.

“Pemeriksaan mendapati terdapat 24 pemilik premis serta penjaja dikenakan tindakan sita terhadap barangan jualan mereka selepas didapati menghalang laluan di kawasan berkenaan dan beroperasi tanpa lesen mengikut Seksyen 46 (1) d Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan UUK (Undang-Undang Kecil) 3 (1) Perlesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 5:11 PM