Penunggang motosikal warga emas yang maut digilis lori kontena. FOTO Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my

SEORANG lelaki warga emas yang juga penunggang motosikal maut dalam keadaan menyayat hati apabila digilis sebuah treler di Jalan Besar Bagan Serai, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Masri Ramli, 62, dari Masjid Tinggi, di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Nasrizal Safila berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan treler.

“Kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda dan lori kontena.

“Seorang mangsa iaitu lelaki warga emas disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Bomba kemudian menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 4:32 PM