Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


DUDA terlepas tali gantung apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki warga Bangladesh di Banting, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zalita Zaidan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh, Mohd Adil Ab Sahud, 33.

Zalita dalam penghakimannya di akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah membuat penilaian maksimum selepas meneliti keterangan semua saksi pendakwaan.

“Pendakwaan bagaimanapun tiada memanggil saksi penting atau utama dalam kes ini sekali gus gagal membuktikan prima facie,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Adil bersama tiga yang masih bebas didakwa membunuh Abdul Kudus di Taman Medan Sijangkang, Banting, 9 pagi, 10 April 2016.

Justeru, tertuduh yang juga penganggur beranak satu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Tiga lelaki Rohingya yang didakwa atas pertuduhan kes membunuh rakan senegara dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Hanneyzah Bariah Baharin

Berdasarkan fakta kes, mangsa dipercayai disamun beberapa individu di dalam bas lalu cuba menyelamatkan diri dengan terjun dari kenderaan itu.

Bagaimanapun, mangsa dikatakan dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepala sebelum ditemui orang awam terbaring di tepi jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Devinderjit Kaur Gill manakala tertuduh diwakili peguam Wan M Razali Wan A Kadir.

Sepanjang perbicaraan bermula Oktober tahun lalu, seramai 17 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 12:59 PM