SUSPEK direman lima hari bagi membantu siasatan meminta dan menerima suapan bernilai RM1.5 juta pada akhir tahun lalu. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SETIAUSAHA pejabat di sebuah kementerian direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan bernilai RM1.5 juta pada akhir tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ahmad Afiq Hasan bermula hari ini hingga 19 Februari di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek wanita berusia 39 tahun itu dipercayai meminta suapan bernilai RM1.5 juta daripada wakil syarikat ejen hartanah sebagai dorongan meminta persetujuan timbalan ketua setiausaha di sebuah kementerian bagi meluluskan tender penjualan hartanah milik kerajaan di Hong Kong.

Difahamkan, suspek juga sudah menerima sebahagian daripada wang suapan.

SPRM menahan suspek di pejabat suruhanjaya di Putrajaya, jam 6.50 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek dibawa pegawai SPRM jam 9.05 pagi di Mahkamah Majistret Putrajaya dengan tangan bergari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 11:46 AM