NAJIB
Suhaila Shahrul Annuar
suhaila.shahrul@bh.com.my


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, menetapkan 11 dan 12 Mac sebagai tarikh mendengar empat rayuan interlokutori (permohonan sebelum perbicaraan) Datuk Seri Najib Razak dalam kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan wang RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed memaklumkan tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datuk Norsharidah Awang.

Beliau berkata, tarikh itu ditetapkan Norsharidah selepas pertemuan dengannya bersama Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan dan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, semalam.

Katanya, pada 4 atau 5 Mac pula ditetapkan sebagai tarikh untuk pemfailan hujahan kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

“Pihak perayu memaklumkan mereka memerlukan 10 hari dari tarikh penerimaan rekod rayuan untuk memfailkan petisyen rayuan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Selama dua hari pendengaran itu, rayuan yang didengar adalah berkaitan permohonan pembelaan supaya pihaknya dikemukakan surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah yang dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes itu, perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai membicarakan merit kes dan permohonan bagi mendapatkan dokumen kes.

Selain itu, mahkamah juga akan mendengar rayuan Najib berhubung tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindah kes bagi tujuh tuduhan membabitkan SRC International Sdn Bhd.

Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib berhubung surat pelantikan Sulaiman selepas memutuskan tiada peruntukan undang-undang mewajibkan Sulaiman mengemukakan surat pelantikan secara fiat (kebenaran rasmi) kepada peguam Najib.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakimannya berkata, ada beberapa perkara kurang jelas dalam pelantikan Sulaiman. Bagaimanapun menurut hakim itu, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan satu kenyataan media berhubung pelantikan itu pada 31 Ogos tahun lalu.

Katanya, kenyataan media yang tertera nama Peguam Negara, Tommy Thomas secara jelas menyatakan pelantikan Sulaiman adalah untuk mengetuai pasukan pendakwaan. Oleh itu mahkamah menganggap permohonan Najib tidak mempunyai merit.

Najib memohon untuk mendapatkan surat berkenaan bagi mengenal pasti sama ada pelantikan itu dibuat melalui cara yang betul mengikut peruntukan Kanun Acara Jenayah dan menegaskan bahawa ia adalah prosedur standard.

Pada 13 Disember pula, Mohd Nazlan turut menolak permohonan Najib yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 8:51 AM