CEO syarikat pelancongan ditahan polis selepas dipercayai terbabit penipuan pakej pelancongan. FOTO Ihsan Polis
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


KETUA pegawai eksekutif (CEO) syarikat pelancongan yang dipercayai terbabit dalam penipuan pakej pelancongan tidak wujud membabitkan kerugian RM2 juta ditahan polis di pejabatnya di Taman Kajang Sentral, Kajang, pagi semalam.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan 11.55 pagi semalam selepas menerima laporan daripada seorang mangsa dalam kes itu.

Sumber polis berkata, suspek mengaku sekurang-kurangnya 400 individu terpedaya dengan modus operandi syarikat itu dengan kerugian dianggarkan RM2 juta.

“Seorang daripada mangsa membuat laporan polis mendakwa sudah memasukkan wang sebanyak RM27,133 ke akaun syarikat itu dengan perjanjian penerbangan ke Turki dan Perancis pada 7 Februari lalu.

“Bagaimanapun, pada hari penerbangan, mangsa dimaklumkan CEO syarikat itu bahawa penerbangan dibatalkan dengan pelbagai alasan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, sepasukan polis membuat serbuan di pejabat agensi berkenaan di Taman Kajang Sentral dan menahan CEO syarikat itu.

“Hasil siasatan, suspek mengaku kira-kira 400 pelanggan terpedaya membabitkan kerugian sebanyak RM 2 juta dan berjanji akan membayar semula wang pelanggan dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan tangkapan itu dan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Isnin lalu, Harian Metro melaporkan kira-kira 400 individu kerugian selepas pakej percutian murah yang mereka tempah dari agensi pelancongan dijalankan suspek membatalkan tempahan mereka saat-saat akhir.

Agensi pelancongan yang menawarkan percutian ke benua Eropah itu juga didakwa membenarkan bayaran secara ansuran menyebabkan ramai individu memilih untuk mengambil pakej melancong bersama agensi itu.

Berita berkaitan

Impian ke Eropah musnah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 6:45 PM