AZMAN menunjukkan gambar profil WhatsApp Alice yang disunting dan dipadankan dengan gambar lucah dari Internet. FOTO Yusmizal Dolah Aling.
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


SIMBAH cat, rampas kad mesin pengeluaran wang (ATM) dan tampal poster antara taktik digunakan along untuk menakut-nakutkan peminjam sejak lebih 15 tahun lalu.

Namun kepesatan teknologi masa kini turut menjadikan ceti haram itu turut berubah dan menggunakan taktik baru iaitu menularkan gambar lucah kononnya ia adalah peminjam yang berhutang dengan mereka.

Sejak awal tahun ini, Unit Banteras Ceti Haram Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima 10 kes berkaitan ugutan menggunakan gambar lucah disunting menerusi gambar di Internet.

Pengarahnya, Azman Kang berkata, dalam kes terbaru, seorang wanita berusia 23 tahun menjadi mangsa apabila gambar profil WhatsApp miliknya disunting dan dipadankan dengan gambar bogel individu lain.

Katanya, gambar mengghairahkan itu digunakan along untuk mengugut peminjam supaya membuat bayaran mengikut kadar bunga ditetapkan.

“Mangsa dikenali sebagai Alice memberitahu dia membuat pinjaman sebanyak RM20,000 pada November tahun lalu sebelum didesak membayar sejumlah RM24,000 biarpun belum sampai tempoh akhir.

“Tidak lama kemudian, dia menerima kiriman WhatsApp meminta bayaran segera dan jika gagal, gambar bogelnya akan disebarkan di media sosial termasuk Facebook.

“Berkali-kali dia merayu supaya jangan siarkan gambar itu kerana ia boleh mengaibkan dan menimbulkan salah faham terutama kepada keluarga, tetapi along terbabit terus menghantar gambar itu di dalam ruangan komen Facebook ,” katanya ketika ditemui bersama Alice yang membuat aduan kepada sekretariat PPIM.

Azman berkata, perbuatan seperti itu dikesan lebih setahun lalu dan along akan meminta alamat Facebook milik peminjam selain butiran peribadi lain.

Menurutnya, mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang akan menyerahkan maklumat berkenaan tanpa ragu dan memikirkan risiko pada masa depan.

“Jelas, ini adalah taktik baru meminta bayaran. Saya tidak menolak kemungkinan mereka ada pekerja khusus yang mahir menggunakan aplikasi tertentu untuk menyunting gambar.

“Ada kes mangsa along tidak berani keluar rumah kerana malu berdepan khalayak kerana gambar sudah disebarkan di media sosial.

“Lebih parah lagi, along pula yang mengendalikan akaun FB itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 3:34 PM