BANGKAI tapir ditanam di dalam lubang khas. FOTO NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my


TAPIR dewasa seberat lebih 200 kilogram ditemui mati selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang kunci air berhampiran Felda Kepis, Jempol, sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 8.35 pagi semalam.

Menurutnya, anggota Jabatan PERHILITAN Daerah Jempol dan Negeri Sembilan kemudian segera ke lokasi sebelum pemeriksaan mendapati tapir dewasa itu sudah mati.

“Kawasan kejadian berlaku berhampiran hutan belukar dan terdapat papan tanda lintasan hidupan liar di pasang kurang 600 meter dari lokasi kejadian.

“Tidak dapat dipastikan tapir itu dilanggar kenderaan atau mati akibat terjatuh dan terperangkap ke dalam lubang sedalam lebih dua meter itu,” katanya.

Menurutnya, bangkai tapir itu kemudian dikeluarkan dari lubang itu dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat.

“Bangkai tapir itu kemudian dibawa ke Pejabat PERHILITAN Daerah Seri Jempol untuk tujuan pelupusan bangkai dengan ditanam di dalam lubang khas.

“Setakat ini tiada kesan jerat ditemui pada badan tapir itu,” katanya.

Kadir berkata, bilangan tapir di Semenanjung Malaysia diancam kepupusan susulan berikutan isu penerokaan hutan, kekurangan habitat, mati dilanggar kenderaan, perburuan haram, ancaman penyakit dan kadar pembiakan yang perlahan.

“Kes tapir mati dirempuh kenderaan turut didapati semakin kerap berlaku kebelakangan ini. Dianggarkan terdapat antara 1,100 hingga 1,500 tapir masih menghuni hutan di Semenanjung termasuk di kawasan perlindungan seperti Taman Negara dan rizab hidupan liar.

“Tapir dikategori sebagai spesies dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Usaha memastikan haiwan ini tidak pupus akan terus dipergiatkan pihak PERHILITAN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 2:55 PM