Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya

PESARA polis yang juga imam di Kampung Bukit Kadir, Nilai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini atas tiga dakwaan memiliki pistol dan peluru tanpa kebenaran selain mencuri senjata itu pada bulan lalu dan 2007.

Tertuduh, Sulaiman Abdul Rahman, 63 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin sebaik semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Sulaiman didakwa memiliki Revolver 38 SPL 3 Smith&Wesson bernombor siri 335J43 tanpa kebenaran di rumah di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Selangor pada 11.40 pagi 27 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, memperuntukkan penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tujuh butir peluru Winchester 38 Special, sebutir peluru 38 SPL dan sebutir peluru 38 SME tanpa kebenaran di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Sulaiman didakwa mencuri pistol berkenaan dan 30 peluru milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kaunter stor Cawangan Persenjataan Balai Polis Kuala Pilah pada 10 malam 27 Disember 2007.

Dia berdepan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli, peguam tertuduh, M Gobi merayu supaya jaminan ditawarkan kerana anak guamnya perlu menjalani rawatan kesihatan berikutan mengidap kanser prostat.

Bagaimanapun Nariman tidak menawarkan jaminan kerana membabitkan kes serius dan menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula.

Portal berita akhbar ini 26 Januari lalu melaporkan tertuduh membelasah dan menerajang isterinya, 58, selepas berang wanita itu memajakkan pokok rambutan mereka kepada jiran di Kampung Bukit Kadir.

Dalam kejadian 9 pagi pada 24 Januari lalu, tertuduh juga melepaskan sedas tembakan sebelum isterinya membuat laporan polis enam jam kemudian.

Lelaki itu bagaimanapun menyerah diri di Balai Polis Mantin, 11 malam, hari yang sama dan siasatan polis membawa penemuan pistol dan peluru di Pulau Indah, Selangor.

Berita berkaitan

Tumbuk isteri kerana pokok rambutan

[UPDATE] Lelaki tumbuk isteri direman tujuh hari

Imam mengaku tak amanah, sorok pistol polis

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 11:19 AM
TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah. FOTO Hazreen Mohamad