AKSEM Perlis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan setor simpanan ketum di Jalan Kaki Bukit. FOTO Ihsan Aksem Perlis
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Padang Besar: Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis berjaya menyerbu rumah yang dijadikan stor penyimpanan lebih setengah tan daun ketum bernilai RM17,040 sebelum diseludup ke Thailand, kelmarin.

Komander AKSEM Perlis, Syed Basri Syed Ali berkata, dalam serbuan jam 4.30 pagi itu, pihaknya mendapati rumah di Jalan Kaki Bukit berkenaan tidak berpenghuni.

“Berdasarkan maklumat risikan AKSEM negeri, kami mendapati rumah terbabit dijadikan pengumpulan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran.

“Anggota yang tiba di rumah berkenaan mengetuk pintu rumah terbabit, bagaimanapun tiada jawapan dan kami terpaksa memecahkan pintu rumah itu,” katanya ketika dihubungi.

Syed Basri berkata, sejurus pintu rumah itu dipecahkan, pihaknya menemui 568 kilogram daun ketum yang dibungkus ke dalam ratusan plastik kecil.

“Bagi operasi semalam, tiada tangkapan dilakukan namun kami sudah mengesan pemilik rumah berkenaan melalui alamat pada bil elektrik rumah itu.

“Kami percaya mereka yang terbabit akan dapat diberkas bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, semua daun ketum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padang Besar untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 8:19 AM