Antara kenderaan yang rosak selepas dirempuh lori tangki. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin dan Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


KECUAIAN pemandu lori tangki tidak menarik brek tangan kenderaan ketika meninggalkan lori dalam keadaan enjin masih hidup mengakibatkan lapan kenderaan lain, termasuk motosikal, rosak akibat dilanggar lori berkenaan yang melungsur di jalan dalam kejadian di Seksyen 15, Bangi, malam tadi.

Menurut seorang pemilik kenderaan, Muhamad Zulazhar Abdul Halim, 31, ketika kejadian, dia berada di klinik di lokasi terbabit kira-kira jam 9 malam.

Katanya, dia meletakkan Perodua Bezza miliknya di hadapan klinik berkenaan.

“Ketika saya menunggu giliran di klinik berkenaan, saya terdengar dentuman kuat sebelum bergegas keluar untuk meninjau apa yang berlaku.

“Saya terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang diletakkan di laluan terbabit dilanggar lori tangki berkenaan yang bergerak sendiri tanpa pemandu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Lokasi kejadian lori tangki merempuh lapan kenderaan. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin dan Ihsan Pembaca

Menurutnya, dia melihat pemandu lori itu berusia lingkungan 40-an berlari mengejar lori terbabit.

“Pemandu lori itu yang berjaya mengejar kenderaan berkenaan dari sebuah stesen minyak kemudian masuk ke dalam lori terbabit lalu menarik brek tangan bagi menghentikan kenderaan itu.

“Berdasarkan keterangan pemandu lori itu, dia sedang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan dan membiarkan enjin kenderaan terbabit hidup sebelum ia tiba-tiba bergerak,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, ada pemandu wanita berusia lingkungan 20-an berada di dalam Perodua Myvi yang dilanggar lori tangki terbabit.

“Difahamkan wanita itu dalam keadaan trauma. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini.

“Saya bersama pemilik kenderaan lain yang rosak akibat kemalangan ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 12:58 AM