Antara wang yang ditemui semula daripada wanita terbabit. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


SONGLAP wang syarikat untuk berjudi dan digunakan bagi menyambut Tahun Baru Cina.

Itu dilakukan wanita yang juga pengurus sebuah stesen minyak yang membuat laporan kononnya dia disamun lelaki bertopi keledar di hadapan premisnya di Sungai Rambai, Bukit Mertajam semalam.

Bagaimanapun, siasatan lanjut polis mendapati wanita berusia 59 tahun itu menipu dan menggunakan wang syarikat RM16,100 untuk berjudi dan membuat persiapan Tahun Baru Cina dan sebahagiannya pula disimpan dalam stesen minyak.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, wanita berkenaan ditahan jam 5.30 petang hari ini di stesen minyak tempat dia bekerja.

“Hasil siasatan lanjut, kita menemui wang tunai RM18,900 yang disimpan dalam stesen minyak manakala selebihnya sudah digunakan suspek.

“Suspek juga didapati membuang telefon bimbit serta dokumen pengenalan dirinya dalam tong sampah di Jalan Padang Lalang di sini untuk mengaburi polis,” katanya.

Dalam kejadian jam 2 petang semalam, wanita itu membuat laporan kononnya dia disamun ketika berjalan kaki menuju ke tempat letak kereta di kawasan parkir stesen minyak terbabit.

Dalam laporannya itu, dia mendakwa lelaki tidak dikenali menarik beg tangannya yang mengandungi wang tunai milik syarikat berjumlah RM35,000.

Nik Ros Azhan berkata, suspek kini ditahan dan akan direman di Mahkamah Bukit Mertajam esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Lesap RM35,000 diragut

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 12:20 AM