Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


WANG tunai RM35,000 milik sebuah syarikat lesap selepas pengurusnya diragut lelaki bertopi keledar di sebuah stesen minyak di Sungai Rambai, Bukit Mertajam semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa wanita berusia 59 tahun berjalan kaki menuju ke tempat letak kereta di kawasan parkir stesen minyak terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebaik sampai di kereta lelaki tidak dikenali datang dari belakang dan menarik beg tangan mangsa.

“Sejurus selepas itu, suspek kemudian melarikan diri ke arah belakang stesen minyak dan meninggalkan tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak dapat mengecam suspek yang bertopi keledar hitam.

Nik Ros Azhan berkata, suspek tidak menggunakan senjata dan tidak mengugut mangsa.

“Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu tidak berfungsi sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, selain kehilangan wang tunai RM35,000 milik syarikat tempat mangsa bekerja, wanita itu juga hilang dokumen peribadi dan wang tunai miliknya berjumlah RM300.

Katanya, suspek kini diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 9:47 PM