Laporan portal Harian Metro mengenai wanita yang mukanya ‘ditoreh’ bekas kekasih.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


TIDAK berpuas hati selepas wanita yang disayangi memutuskan hubungan cinta yang dijalin sejak setahun lalu, dipercayai menjadi punca wanita berusia 24 tahun ‘ditoreh’ pada muka oleh bekas kekasihnya, Khamis lalu.

Malam tadi, Harian Metro melaporkan wanita itu parah apabila bahagian mukanya ‘koyak’ lebih lima sentimeter dari bibir hingga ke pipi kanan selepas dikelar lelaki warga Bangladesh berkenaan dengan objek tajam, dalam kejadian 6.30 petang, pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, sehingga kini pihaknya menahan dua lelaki warga Bangladesh, termasuk individu yang dipercayai bekas teman lelaki wanita itu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, dua suspek berusia 20-an itu ditahan di Kajang, sehari selepas kejadian.

Katanya, hasil siasatan, seorang daripada suspek adalah bekas kekasih mangsa dan kejadian berpunca berikutan suspek cemburu serta tidak puas hati mangsa mahu memutuskan hubungan dengannya.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dilakukan dan dua suspek terbabit direman tujuh hari sehingga 15 Februari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, wartawan Harian Metro turut menghubungi mangsa yang juga penolong pengurus syarikat swasta bagi mendapatkan kenyataan berhubung kejadian itu, namun gagal apabila panggilan telefon tidak dijawab.

Berita berkaitan

Cinta luka bertoreh muka

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 7:09 PM