GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


CARI motosikal curi jumpa heroin pula. Itu yang ditemui sepasukan polis selepas menyerbu rumah mekanik di Kampung Besar, Bukit Mertajam, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuah 1 tengah hari itu, sepasukan polis menahan lelaki berusia 33 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan pihaknya menemui satu peket plastik lutsinar yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.

“Selain itu, hasil maklumat daripada suspek, polis merampas enjin motosikal yang dilaporkan hilang di Teluk Air Tawar pada 2017.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan dia juga mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 6:35 PM