Kamarudin (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abd Rahman serta pegawai tertinggi kementerian menggaul Yee Sang. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


KEMENTERIAN Pengangkutan akan berusaha memastikan bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang belum mendapat sebarang pekerjaan, ditawarkan di mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Itu jaminan diberikan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar kepada bekas kakitangan SPAD yang belum menerima sebarang tawaran selepas suruhanjaya itu dibubarkan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada semua bekas pegawai dan kakitangan SPAD yang sudah ditempatkan di Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan jabatan atau agensi di bawah kementerian ini.

“Dalam hal ini juga, Kementerian Pengangkutan akan berusaha bagi memastikan semua bekas kakitangan SPAD yang belum mendapat apa-apa tawaran kerja akan ditawarkan pekerjaan semula di mana-mana agensi atau GLC dan sebagainya,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya, hari ini.

Pada 4 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, hanya 20 peratus daripada semua bekas pekerja SPAD belum mendapat pekerjaan.

Beliau dipetik berkata, seramai 961 bekas kakitangan SPAD sudah mendapat peluang penempatan kerja dan pampasan membabitkan peruntukan RM23 juta diluluskan oleh kerajaan kepada semua yang terbabit.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, SPAD dibubarkan dan digantikan dengan APAD berkuat kuasa 1 Januari lalu selaras dengan komitmen kerajaan bagi memperkasakan lagi sektor pengangkutan awam darat.

Katanya, ia akan melaksanakan fungsi dasar dan pembangunan di bawah Akta 715 (Akta Pengangkutan Awam Darat 2010).

“Sehubungan itu, semua perkhidmatan pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) memulakan operasinya pada 7 Januari lalu, yang mana kaunter bagi proses permohonan dan pelesenan kenderaan komersil oleh APAD mula dilaksanakan pada tarikh berkenaan.

“Justeru, semua permohonan berkaitan lesen pengendali yang sudah dan akan diterima juga diproses oleh APAD mulai tarikh itu,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR), JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menggiatkan lagi inisiatif strategik antara pihak kerajaan dengan swasta dalam hal keselamatan jalan raya.

Katanya, langkah itu bagi mempertingkat lagi program serta inisiatif ke arah memastikan matlamat untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 6:29 PM