GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

SEORANG pemuda memijak lutut dan pinggang anggota polis dalam cubaannya meloloskan diri ketika ditahan dalam Ops Tapis Narkotik di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Chukai, semalam.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 22 tahun itu hanya mengundang padah apabila ditahan bersama seorang rakan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, suspek dan rakannya sebelum itu dikesan berada di hadapan rumah berkenaan dan dihampiri empat anggotanya yang memperoleh maklumat kegiatan terlarang di situ.

“Bagaimanapun, mereka melarikan diri apabila didekati dan suspek pertama berjaya ditahan dengan pemeriksaan ke atasnya menemui dua paket plastik lutsinar yang setiap satu berisi serbuk putih dan ketulan kristal disyaki dadah dalam poket sebelah kanan seluar pendek dipakainya.

“Pada masa sama, dua lagi anggota bertindak mengejar suspek berusia 22 tahun dan ketika menahannya, lelaki itu bertindak agresif apabila memijak lutut serta pinggang seorang anggota menyebabkan dia cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Said berkata, suspek kemudian berjaya ditahan tetapi tiada barangan salah ditemui pada tubuhnya, namun dia ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Hasil ujian saringan awal kedua-dua suspek mendapati positif dadah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 6:13 PM