AZMAN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barangan kemas bernilai RM20,000. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


SEORANG bekas banduan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barangan kemas bernilai RM20,000.

Tertuduh, Azman Nasib, 37, dari Rawang, Selangor membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang baharu selesai menjalani hukuman parol didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri pelbagai barangan kemas bernilai RM20,000, beberapa keping surat pajak gadai, sebuah komputer riba dan syiling di dalam tabung sebanyak RM400 milik Norisah Muhammad, 55.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Sri Batin, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu, antara 6 petang hingga 10 malam 3 Februari hingga 5 Mac 2016.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan bagi mana-mana kesalahan yang dilakukan kali kedua jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 24 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:38 PM