ROSLI (dua kanan) dan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam (dua kiri) melihat tong LPG yang disita. Faiz Anuar
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


SINDIKET penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang beroperasi sejak sebulan lalu tumpas selepas dua premis mereka diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kapar, Klang, semalam.

Dalam serbuan selama dua jam mulai jam 5 petang itu, sebanyak 1,860 tong gas berkapasiti 14 kilogram (kg) serta dua lori termasuk tangki bernilai RM500,000 dirampas.

Timbalan Pengarah Cawangan Khas KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, kejayaan operasi itu hasil risikan pihaknya selama dua minggu terhadap kegiatan sindiket yang menjadikan dua premis tidak bernombor itu sebagai stor pemindahan gas.

Menurutnya, ketika serbuan didapati kedua-dua pintu premis yang berjarak tujuh kilometer di antara satu sama lain itu ditutupi dengan zink dan berkunci.

“Hasil pemeriksaan, kita menemui 772 tong LPG berisi berkapasiti 14 kg dan 1,088 tong gas kosong 14 kg; dua lori termasuk satu tangki gas dan lima unit peralatan hos paip besi.

“Nilai keseluruhan dianggarkan RM500,000. Semua barang yang disita akan dibawa ke Kompleks Ekshibit, Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Nilai untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, hari ini.

Rosli berkata, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah dengan memindahkan gas daripada tong domestik bersubsidi dengan kuantiti 14 kg yang dibeli daripada pemborong ke dalam tangki berkapasiti 12 tan.

“Sindiket ini kemudiannya menjual LPG dengan harga dianggarkan RM42 bagi satu tong gas 14 kg di sekitar Lembah Klang dan pasaran mereka adalah kilang, restoran dan pihak industri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu berurusan secara borong/runcit barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pengawal.

Kes turut disiasat Seksyen 21 Akta bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Katanya, bagi kesalahan itu, individu boleh dikenakan denda tidak kurang RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, manakala bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 5:10 PM