DUONG Thi Thuy Trang (tengah) dibawa ke mahkamah. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Mohd Sabran Md Sani dan Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


TEKONG darat wanita warga Vietnam dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Mersing, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki pasport dan dokumen perjalanan pendatang asing tanpa izin (PATI) milik individu lain untuk ke negara asal, pada 3 Februari lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap Duong Thi Thuy Trang, 34, selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam bahasa Vietnam.

Mengikut pertuduhan, Thuy Trang tanpa kuasa sah ada dalam milikannya pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri yang dikeluarkan bagi kegunaan individu lain selain dirinya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah berkembar satu tingkat di Jalan Cemerlang 08, Taman Cemerlang 02, Tanjung Gemok, Rompin, pada jam 10.15 pagi, 3 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, seorang tekong bot, Tran Van Dung, 38, mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut migran yang diseludup keluar dari negara ini, pada 30 Januari lalu.

Dia yang juga nakhoda mengemudi sebuah bot nelayan tempatan bernombor pendaftaran PAF 4973 di kedudukan garis lintang 02, di 1.8 batu nautika dari Barat Tanjung Kempit, Endau, jam 2.25 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, 18 PATI warga Vietnam turut didakwa cuba keluar ke negara ini menerusi laluan tidak diwartakan.

Tertuduh, Thach Dung, 38; Le Minh Dien, 27; Huynh Huu Nghi, 29; Huynh Van Tinh, 32; Tran Van Co, 26; Le Thah Kha, 19; Du Than Luan, 41; Huynh Huu Phuol, 36 dan Tran Thanh Tu, 29.

Turut didakwa Truong Van Cu Mau, 50; Duong Van Quy, 29; Duong Minh Dang, 24; Duong Trong Hien, 26; Nguyen Chi Khang, 25; Nguyen Van Chien, 28; Luong Van Duc, 31; Duong Hoang Vu, 28; dan Nguyen Van Xung, 44.

Mereka didakwa menaiki sebuah bot nelayan tempatan di lokasi sama pada jam 2.25 pagi, 30 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua tertuduh bagaimanapun mengaku salah terhadap pertuduhan.

Mazana menetapkan sebutan semula kes pada 3 April ini bagi melantik jurubahasa Vietnam dan menunggu dokumen pengesahan daripada Jabatan Imigresen.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hairun Najmi Mashahadi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 4:12 PM