IBU mangsa tidak menahan kesedihan selepas melihat jenazah Muhammad Haziq yang maut dalam kemalangan. FOTO Rosli Rosli Ilham
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


PELAJAR maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 23, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Padang Pulut di Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 7 pagi tadi, Muhammad Haziq Irfan Ismail, 14, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan muka.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut itu dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Kampung Wa, di sini.

Sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Viva dipandu seorang wanita dikatakan memasuki sebuah simpang tiga di situ.

Pada masa sama, Honda EX5 ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta berkenaan.

Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, pemandu Perodua Viva, Rosnani Yusof, 54, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kampung sama selepas menghantar anaknya ke sekolah.

“Ketika memasuki simpang, saya tidak perasan motosikal itu berada di depan kerana keadaan jalan masih gelap.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak tetapi saya tidak berani mendekati mangsa kerana takut.

“Saya tidak putus-putus berdoa agar mangsa selamat namun sedih apabila orang ramai memaklumkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkanada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada pemandu kereta terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya.

Foto Rosli Ilham

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 2:31 PM