MOHD Iskandar Abdul Rahim mengumpulkan selipar milik Allahyarham Mohd Jefri yang lemas. FOTO Hassan Omar
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


KANAK-KANAK lelaki lemas dipercayai terjatuh ketika bermain berhampiran kolam ikan di Kampung Bukit Bun Bun, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, semalam.

Difahamkan, mangsa Muhammad Jefrey Iskandar Abdullah, 8, bermain dan mandi di dalam kolam bersama adik-beradiknya sekitar jam 6 petang di kolam berkenaan sebelum kejadian berlaku.

Kejadian dikatakan disedari apabila seorang daripada adik beradik mangsa mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, seorang lelaki berusia 20 tahun iaitu orang kampung terbabit bergegas ke kolam itu sebaik seorang daripada kanak-kanak yang bermain di situ memberitahunya mangsa lemas.

“Lelaki terbabit cuba mencari mangsa dalam kolam sebelum menemuinya terapung di permukaan air lalu menarik mangsa ke darat, dan cuba menyelamatkan mangsa yang tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lubuk Cina, yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.50 malam.

Asmadi berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:13 PM