GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


WARGA emas yang juga pesara polis akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, esok atas tiga pertuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran, menyimpan peluru tanpa lesen dan mencuri.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek berusia 61 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Katanya, sebaik lelaki itu dicekup 24 Januari lalu, siasatan pihaknya menemui beberapa barang kes yang boleh dijadikan bukti pada pertuduhan berkenaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 14 tahun, sebatan dan denda,” katanya yang dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro, 26 Januari lalu melaporkan pesara polis bertindak membelasah isterinya kerana berang wanita terbabit memajak pokok rambutan kepada jiran di Kampung Bukit Kadir, di Nilai, 24 Januari lalu.

Pada kejadian 9 pagi, mangsa berusia 58 tahun ditarik rambut dan diterajang sebelum suspek melepaskan satu das tembakan ke udara

Sehubungan kejadian, mangsa membuat laporan polis pada 3 petang sebelum suspek menyerah diri pada hari yang sama, 11 malam.

Berdasarkan siasatan pihak polis, lelaki berkenaan bertindak menyembunyikan pistol dan peluru di kawasan di Pulau Indah, Selangor.

Siasatan turut mendapati senjata berkenaan dilaporkan hilang sewaktu lelaki itu masih berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Berita berkaitan

Tumbuk isteri kerana pokok rambutan

[UPDATE] Lelaki tumbuk isteri direman tujuh hari

Imam mengaku tak amanah, sorok pistol polis

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 12:10 PM