PEMANDU bersama gas LPG ditahan dalam Op Terancang di Terminal Bot Penambang Pulau Gaya. FOTO ihsan PPM
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 450 liter diesel dan 90 tong gas petroleum cecair (LPG) kerana tiada dokumen pengesahan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di daerah Kota Kinabalu, semalam.

Rampasan dilakukan dalam dua serbuan berasingan antara 10.20 pagi hingga 11 pagi dan pada 10.30 malam, ketika sepasukan anggota PPM Kota Kinabalu melalui Unit Risikan Marin (URM) menjalankan Op Gelora Khas dan Op Terancang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, serbuan dalam Op Gelora Khas di perairan Jeti Pemasaran Perikanan Sabah (SAFMA) menahan bot penambang yang dikendalikan lelaki berusia 22 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati 26 tong biru berisi 18 liter setiap satu yang mengandungi diesel. Anggaran diesel dirampas iaitu 450 liter.

"Pemeriksaan lanjut didapati juragan gagal mengemukakan lesen atau permit yang sah dari KPDNHEP. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin berjumlah RM23,900," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, serbuan Op Terancang di Terminal Bot Penambang Pulau Gaya dekat Pasar Besar Kota Kinabalu menahan dua lori yang membawa muatan 41 dan 49 unit tong gas LPG.

"Turut ditahan dua lelaki yang juga pemandu lori berusia 41 dan 44 tahun. Ketika ditahan mereka gagal menunjukkan dokumen atau permit yang sah daripada KPDNHEP.

"Pemeriksaan seterusnya mendapati daripada 90 tong LPG itu 66 berisi manakala 24 kosong," katanya sambil menambah nilai rampasan termasuk dua lori berjumlah RM145,330.

Beliau berkata, semua tangkapan dan barang rampasan ditahan dan dibawa ke pangkalan PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM169,230.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 8:55 AM