BERNAMA

AHLI Parlimen yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lagi mempunyai pertalian dan hubungan dengan UMNO, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang menjalankan tugas Presiden UMNO dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan yang diambil oleh bekas anggota parti itu tidak akan merencatkan kelangsungan dan agenda perjuangan UMNO.

“Pemilihan mereka untuk menyertai mana-mana pihak pasca UMNO adalah hak mereka sepenuhnya.

“UMNO dan saya merakamkan terima kasih atas segala sumbangan dan jasa mereka dalam UMNO sebelum ini. Selamat maju jaya dalam perjalanan politik mereka selepas ini bersama BERSATU,” katanya.

Hari ini, Pengerusi BERSATU yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penyertaan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam BERSATU.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor)’ Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Dr Mahathir berkata, tujuh ahli parlimen itu diterima menyertai BERSATU selepas mengkaji permohonan mereka selain meletakkan syarat bahawa mereka hanya akan menjadi anggota biasa tanpa memegang sebarang jawatan dalam parti.

Berita berkaitan

Tujuh bekas ahli Parlimen UMNO masuk BERSATU [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 11:44 PM