MUHAMMAD Najmi Uddin (tengah) menunjukkan sijil pelatih terbaik diterimanya kepada Nasri dan ibunya Rahazah Ismail, 50, selepas Majlis Pengiktirafan Tamat Latihan Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek USM di Dewan Budaya USM, Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini. FOTO Ramdzan Masiam.
Zuhainy Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


MINAT terhadap tanaman mendorong orang kurang upaya (OKU) lembam, mengusahakan nurseri pelbagai jenis pokok sejak lebih setahun lalu.

Justeru, tidak hairanlah jika Muhammad Najmi Uddin Nasri, 25, kini menjadi antara usahawan OKU yang berjaya di Kubang Kerian, Kelantan dengan pendapatannya mencecah RM5,000 sebulan.

Bapanya, Nasri Awang Ahmat, 52, berkata dia menyedari anak sulung daripada lima beradik itu gemar menanam dan menjaga pokok di sekitar rumah mereka sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, dia diberitahu kenalan mengenai Universiti Sains Malaysia (USM) ada menawarkan program latihan Pekerjaan OKU Intelek yang sesuai dengan keupayaan Muhammad Najmi Uddin di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) USM.

"Menerusi program itu, Muhammad Najmi Uddin mendapat bimbingan mengenai pengurusan dan penjagaan menyeluruh nurseri berkenaan di atas tanah seluas setengah ekar (0.202343 hektar) dengan dibantu anak kedua saya.

"Pokok ditanam terdiri daripada pokok hiasan, bunga, buah dan herba, malah dia sedang dalam proses membeli setengah ekar tanah lagi bagi menempatkan nurseri baharu menggunakan wang simpanan hasil jualan pokok selama ini," katanya.

Nasri dan Muhammad Najmi Uddin sebelum ini hadir ke Majlis Pengiktirafan Tamat Latihan Program Pekerjaan OKU Intelek USM 2019 yang turut meraikan 43 OKU intelek iaitu 27 pelatih di bawah PDK USM Kubang Kerian dan 16 lagi di bawah USM Pulau Pinang.

Pada majlis itu, Muhammad Najmi Uddin bersama seorang lagi pelatih OKU masalah dalam pembelajaran Muhammad Irwan Helmi Idris, 20, dari Simpang Ampat, Nibong Tebal dipilih sebagai pelatih terbaik.


Muhammad Najmi Uddin berada di nurseri diusahakannya di Kubang Kerian, Kelantan. FOTO ihsan keluarga.

Nasri berkata, semangat ditunjukkan Muhammad Najmi Uddin itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada OKU lain dan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.

Katanya, walaupun keupayaan terbatas namun golongan itu wajar diberi peluang bagi mencapai impian masing-masing selain melatih mereka supaya berdikari.

"Ibu bapa perlu kenal pasti bakat serta minat anak istimewa itu terlebih dahulu selain menunjukkan sokongan dan memberi dorongan kepada mereka," katanya yang bekerja sebagai guru.

Program berkenaan sudah dijalankan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan sejak 2012 dan mula dilancarkan di Pulau Pinang pada tahun lalu dengan kerjasama JKM Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Sementara itu, Pensyarah Kanan Terapi Carakerja, Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, program berkenaan melatih OKU bekerja dalam masa yang singkat iaitu antara tiga hingga 12 bulan. "Program latihan pekerjaan ini mampu mengubah kehidupan OKU intelek dan menjadi sumber pendapatan kepada keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:58 PM