MUHAMAD Harith Haziq menunjukkan pelbagai pingat dimenanginya sejak menyertai pertandingan motosikal mini ketika ditemui di rumahnya di Taman Jengka Mahkota, Maran. FOTO Roselan Malek.
Roselan Ab Malek
am@hmetro.com.my


KECIL-KECIL cili padi. Itu ungkapan sesuai untuk menggambarkan kemampuan Muhamad Harith Haziq Zamri, 14, mengendalikan motosikal berkuasa tinggi tanpa sebarang masalah meskipun bertubuh kecil.

Walaupun memiliki ketinggian 140 sentimeter (sm) dan berat 36 kilogram (kg), pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya (SMKDJ), Jengka ini sudah meraih banyak kejayaan dalam sukan permotoran.

Malah, kejayaannya itu bukan saja mengharumkan nama keluarga, tetapi membuatkan penduduk di kawasan FELDA Jengka berbangga dengannya.

Lebih manis lagi, Muhammad Harith kini dipilih untuk mengikuti latihan bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus menjadi pelapis bagi pelumba MotoGP negara.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam sukan pemotoran, dia berkata, semuanya bermula ketika dia berusia 10 tahun apabila dia kerap dibawa ayahnya, Zamri Abd Samad, 44, bermain motosikal mini setiap hujung minggu.

“Ayah sering bawa saya ke Dataran Jengka untuk bermain motosikal mini dan ketika itu hanya sekadar mengisi masa lapang pada hujung minggu.

“Saya mula serius dalam sukan ini apabila ayah membelikan suit baju pelumba lengkap dan menjalani latihan bersama rakan lain,” katanya.

Anak tunggal itu berkata, dia kemudiannya memberanikan diri untuk menyertai kejohanan motosikal dan lebih menggembirakan apabila sebahagian besarnya berakhir dengan kemenangan.

Antara kejayaan diraih adalah juara kategori bawah 13 tahun Kejohanan 1MYC Fiesta Motorsport di Tanjung Malim, Perak, Malaysian Superbike Championship (johan), Perak Extreme Games Champion (johan) dan tempat kedua Malaysian Cub Prix Round 1.

“Saya berazam untuk melakukan yang terbaik ketika menjalani latihan bersama SIC nanti kerana ia adalah platform terbaik untuk melangkah jauh dalam sukan ini.

“Saya menyimpan impian untuk membawa nama negara ke persada dunia, jadi saya harus menggunakan peluang ini sebaiknya,” katanya yang menjadikan pelumba terkenal dunia, Valentino Rossi dan pelumba negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin sebagai idolanya.

Sementara itu, Zamri berkata, dia memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhammad Harith untuk aktif dalam sukan itu selepas melihat kesungguhannya.

Katanya, dia tidak kisah berhabis duit untuk melakukan pengubahsuaian terhadap motosikal anaknya bagi memastikan ia berada pada tahap terbaik.

“Saya melakukan sendiri pengubahsuaian terhadap motosikal Muhammad Haziq dengan merujuk kepada mereka yang mempunyai pengalaman terbabit dalam sukan ini.

“Biasanya saya mendapatkan peralatan dan alat ganti motosikal ini dari Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 9:42 PM