BERNAMA

PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menasihati orang ramai supaya berhati-hati terhadap ‘pakej pelancongan murah’ yang ditawarkan agensi pelancongan terutama menerusi dalam talian.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, tidak ada perkara seperti ‘makan tengah hari percuma’, jadi pelanggan perlu mengamalkan sikap berhati-hati sebelum bersetuju dengan pakej pelancongan yang ditawarkan dalam talian seperti menerusi media sosial.

“Layari dalam talian untuk pastikan kesahihan syarikat itu, kaji lawatan, rekod dan rujukan daripada rakan-rakan, pelanggan atau saudara mara mengenai syarikat berkenaan.

“Pelanggan yang pernah ditipu oleh ejen pelancongan yang tidak bertanggungjawab dan haram perlu segera membuat laporan polis dan mengemukakan tuntutan kepada Tribunal Pengguna.

“Pelanggan juga boleh membawa perkara ini kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan yang berkuasa dari segi perundangan dan pelesenan bagi ejen pelancongan,” katanya.

Tan mengulas mengenai laporan media terhadap penipuan pakej pelancongan membabitkan 120 pelancong dengan kerugian lebih RM810,000.

“MATTA memandang berat perkara ini dan tindakan undang-undang termasuk pertuduhan jenayah perlu diambil terhadap syarikat atau individu yang terbabit atau dikaitkan dengan aktiviti seumpama itu.

“Bagaimanapun, seperti mana industri lain, ada kemungkinan terdapat beberapa ‘buah yang busuk’.

“Bukan semua ejen pelancongan dan pelanggan itu jujur, tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil dan kajian semula terhadap amalan semasa perlu bagi membendung aktiviti seperti penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:56 PM