Memerang dipercayai anak John dan Johnny memanjat perahu Kassim untuk mengambil ikan. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


SELEPAS tidak muncul sejak tiga minggu lalu, anak kepada sepasang memerang jantan dan betina, ‘John dan Johnny’, yang jinak dengan nelayan di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Alor Gajah, muncul, hari ini.

Kehadiran anak memerang itu sedikit sebanyak melepas kerinduan nelayan Kassim Md Isa, 65, dan abangnya Osman, 67, yang biasa ‘bermain’ dengan John dan Johnny di kampung itu.

Difahamkan, sejak tiga minggu lalu, John dan Johnny tidak kelihatan sama ada di pangkalan nelayan kampung itu, begitu juga di kampung Kampung Pasir Gembor, Alor Gajah.

Kassim berkata, dia sudah puas memerhatikan sekeliling kampung untuk melihat kelibat John dan Johnny di Kampung Balik Batu serta kawasan sekitarnya, namun tetap tidak kelihatan.

“Puas sudah saya memerhatikan kawasan sekeliling sama ada di pantai atau ketika menarik jaring di laut, tetapi tetap tidak kelihatan.

“Bagaimanapun, hari ini tiba-tiba muncul pula anak memerang yang saya yakin anak John dan Johnny.

“Anak memerang ini memanjat masuk ke dalam perahu saya untuk mengambil anak ikan seperti selangat dan selar untuk dimakan,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan kampung itu, hari ini.

Osman berkata, dia hairan John dan Johnny tidak muncul untuk waktu yang agak lama sedangkan keadaan laut tenang tanpa ribut, berbanding sebelum ini, ombak besar menyebabkan memerang itu tidak berani berenang di pinggir pantai.

Awal Januari lalu, Harian Metro melaporkan kehadiran John dan Johnny menggembirakan nelayan dengan telatah haiwan itu ‘meminta’ ikan, selain suara yang mengujakan dihasilkan memerang berkenaan ketika merayu meminta makanan.


Osman membasuh plastik ikan sambil memerhatikan gelagat memerang dipercayai anak John dan Johnny. FOTO Hassan Omar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:37 PM