Guru diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas direman empat hari bagi membantu siasatan. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


GURU lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini bagi membantu siasatan selepas dipercayai melakukan serangan seksual fizikal ke atas pelajar perempuannya.

Kejadian dikatakan berlaku apabila lelaki itu yang mengajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan, membawa remaja perempuan berusia 16 tahun itu bercuti ke Melaka pada 2 November lalu.

Tindakan remaja itu yang keluar bermalam di hotel bersama gurunya itu dikatakan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Difahamkan, ketika kedua-duanya keluar bersiar-siar di bandar raya itu keesokan harinya mereka terserempak dengan seorang guru dari sekolah sama.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, bagi dirakamkan keterangan.

“Dia kini direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 6:34 PM