Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


PENIPUAN transaksi pembelian barangan secara atas talian dikenal pasti antara aduan tertinggi direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor setakat ini.

Selain laman web, rata-rata mangsa dikatakan membeli barangan dengan individu tertentu termasuk menerusi laman Facebook (FB), Instagram sebelum memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan.

Bagaimanapun, kiriman pos barangan yang dijanjikan itu masih tidak diterima mangsa dan penjualnya turut gagal dihubungi selain menutup akaun mereka.

Sehingga semalam, 110 kes seumpama itu diterima daripada pengguna di negeri itu selain beberapa kesalahan lain.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Azman Adam berkata, statistik menunjukkan 809 aduan kepenggunaan diterima pihaknya sejak awal tahun ini.

“Ia antaranya merangkumi 364 aduan berkaitan harga, perkhidmatan mengelirukan (134) dan harga barangan atau perkhidmatan mahal (108).

“Selain itu, kita menerima 110 aduan berkaitan transaksi atas talian rata-ratanya membabitkan pembelian barangan yang tidak diterima mangsa,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan ke atas aduan itu dengan membuka kertas pertanyaan dan kertas siasatan mengikut undang-undang ditetapkan.

“Bagi kes antipencatutan, pengeluaran notis dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai pencatutan yang dilakukan.

“Bagi kes penandaan harga, kita akan menjalankan pemeriksaan merujuk kepada Perintah Penandaan Harga Oleh Peniaga Runcit 1993 iaitu tindakan ke atas peniaga yang tidak mempamerkan harga pada barangan atau perkhidmatan mereka,” katanya.

Azman berkata, pihaknya turut menasihatkan pengguna lebih berwaspada sekiranya mahu membuat transaksi atas talian terutama melalui individu tertentu bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Selain itu, pengguna perlu merujuk kepada laman rasmi KPDNHEP atau saluran yang betul untuk mengadu mengenai barangan atau perkhidmatan tidak memuaskan daripada menyebarkannya di media sosial sehingga tular.

“Walaupun pengguna itu akan mendapat banyak ‘like’ atau komen, pihak yang ditular akan menutup kesalahan lebih awal kerana ia sudah didedahkan secara umum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 5:30 PM