Mohamed Hanipa Maidin (berkot) bersama murid SK Putera Jaya, Setiu.
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


ISU kelayakan akademik beberapa menteri dan timbalan menteri yang menjadi pertikaian ramai ketika ini tidak membabitkan hal perundangan, sebaliknya lebih kepada etika.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, masyarakat lebih peka mengenai aspek kejujuran menteri dan timbalan menteri berbanding kelayakan akademik dimiliki.

“Isu ini mesti dilihat daripada sudut kejujuran, bukan (mengenai) kelayakan akademik sangat. Jadi, kalau daripada segi (tindakan) perundangan, bagi saya tidak ada.

“Walaupun saya menjaga hal ehwal undang-undang, saya tak nampak ia membabitkan isu perundangan tetapi lebih kepada isu etika,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah ‘Unsung Hero’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Putera Jaya, hari ini.

Beliau mengulas sekiranya tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap anggota Kabinet sekiranya ada yang terbukti melakukan penipuan mengenai sijil dan kelayakan akademik mereka.

Sebelum ini, beberapa pemimpin kerajaan PH didakwa memiliki ijazah palsu termasuk ada yang mengakui tidak menamatkan pengajian di universiti.

Mohamed Hanipa berkata, masyarakat tidak boleh berkompromi mengenai pembohongan dan kejujuran adalah satu perkara yang dituntut daripada ahli politik.

Katanya, beliau percaya perkara itu akan diselesaikan mengikut perlembagaan parti masing-masing yang bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana ia membabitkan parti gabungan dalam PH, setiap parti ada mekanisma masing-masing untuk selesaikan isu itu. Saya tidak mahu menghakimi mana-mana pihak. Ada kes tertentu sudah diserahkan kepada polis, jadi biar polis buat kerjalah,” katanya.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, apa yang menjadi pertikaian masyarakat ialah isu kejujuran individu terbabit, bukan mengenai soal kelulusan akademik.

“Sebenarnya, secara umumnya kelayakan akademik bukan syarat untuk jadi menteri. Kelayakan akademik itu satu bonus. Di negara kita tak ada ketetapan seorang Ahli Parlimen itu perlu mempunyai kelulusan tinggi.

“Bagi saya dalam isu ini masyarakat tidak mahu melihat daripada sudut itu (kelayakan akademik), tetapi daripada sudut kejujuran. Bagi saya kalau kita jujur tak ada masalah.

“Biarpun sekiranya kita hanya mempunyai kelayakan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau darjah enam sahaja sekali pun, kalau kita jujur rakyat tak akan marah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:53 PM