DUA lelaki warga Indonesia menyimpan peralatan menggerudi dan mesin pemotong di dalam guni membawa padah selepas mereka ditahan polis dalam satu kejadian di Flat Limau Manis, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan PDRM
Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


TINDAKAN dua lelaki warga Indonesia menyimpan mesin gerudi dan mesin pemotong dalam guni membawa padah selepas ditahan polis di Flat Limau Manis, Bukit Mertajam hari ini kerana peralatan terbabit didapati dicuri.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dua lelaki berusia 26 dan 30 tahun berkenaan dipercayai memecah masuk gudang dan kawasan pembinaan sekitar kawasan terbabit sebelum mencuri peralatan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam kejadian itu sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan dua lelaki tidak dikenali duduk di kawasan lapang berhadapan flat berkenaan.

“Polis kemudian menghampiri dua suspek berkenaan sebelum ternampak satu guni putih yang mengandungi enam peralatan termasuk mesin pemotong dan mesin penebuk.

“Suspek gagal membuktikan semua peralatan itu milik mereka sebelum ditahan polis bagi tindakan susulan,” katanya di sini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek juga ditahan mengikut Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua lelaki masing-masing berusia 33 tahun diberkas polis kerana melarikan motosikal milik seorang pelajar yang sedang mendaki di Bukit Tok Kun di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, seorang pelajar berusia 17 tahun meletakkan motosikal dipinjam daripada rakannya di Pusat Reakreasi Bukit Tok Kun, di sini dalam keadaan berkunci.

“Selepas selesai aktiviti rekreasi pada jam 10 pagi, mangsa mendapati motosikalnya hilang sebelum cuba mencarinya.

“Mangsa mengesyaki motosikalnya dicuri dan membuat laporan polis,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, hasil siasatan pada jam 8 malam tadi, pihaknya berjaya mengesan suspek dan menyerbu rumah mereka di Machang Bubok di sini.

“Polis juga menemui motosikal yang dilaporkan dicuri di bawah rumah dan dua suspek lelaki berkenaan diberkas serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi tindakan susulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana curi motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:37 PM