NOOR Rashid Ibrahim. FOTO Khairull Azry Bidin
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketatkan prosedur standard operasi (SOP) Talian Nur dalam menangani kehilangan kanak-kanak di negara ini.

Ia susulan kejadian pembunuhan kejam kanak-kanak malang Siti Masitah Ibrahim, 11, di Pekan, Pahang Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tidak memandang remeh jika berlaku sebarang kehilangan kanak kanak tanpa mengira status kewarganegaraan.

“Apa fungsi Nur alert? Kita menerima aduan tidak kira rakyat Malaysia atau bukan warga negara.

“PDRM selalu mengingatkan siasatan ke atas kehilangan kanak-kanak dan orang tua akan ditangani secara serius.

“Laporan yang dibuat juga akan diambil kira dan tidak dipandang remeh,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan Am di Semenyih, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan ada dakwaan Talian Nur tidak diaktifkan oleh polis pada 30 Januari lalu ketika laporan polis diterima berhubung kehilangan Siti Masitah.

Beliau turut menegaskan kes terbabit tiada kaitan dengan sindiket penjualan organ seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Pahang Isnin lalu.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Siti Masitah
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 4:36 PM